Sunday, January 18, 2015

Hancur.



Selama Sang Serakah bermaharajalela, peperangan haq dan batil ini hampir saja menumbangkan Empayar Insan. Satu persatu jatuh terakur, bermula di wilayah 'Aql. Berdikit-dikit rakyatnya diresap ideologi bodoh Sang Serakah. Disusuli beberapa district lain yang akhirnya hampir menyeluruh kebodohan ideologi Sang Serakah dipraktikkan sebagai cara hidup.

"Bodoh! Bodoh! Bukan begini caranya empayar ini diurus!" teriak sekumit jelata.

Segerombolan yang lain umpama zombi yang diumpan otak segar. Otak yang diikat pada tiang kemudian dipacak pada sebuah lori pick up dan dibawa mengelilingi bandar. Zombi-zombi semua hanya mengejar untuk membaham otak itu. Umpama itu.

Namun di ambang kemenangan mutlak Sang Serakah, di saat adiwira Empayar Insan ditanam jauh ke dalam tanah, gempa berskala seribu skala ritcher menghenyak Empayar Insan. District 'Aql hancur lebur. Sang Serakah cedera, namun tidak parah. Kemusnahan yang menghancurkan keduanya, haq dan batil.

"Aku hampir menawan empayar ini! Aku hampir punya kunci pintu (seakan Bitfrost Bridge milik Asgard) ke Empayar Insan yang lain! Aku hampir menawan dua Empayar Insan! Jahanam!" kemarahan Sang Serakah membuak. Bagai tiada esok baginya. Dihentak-hentak kepalanya ke batu. Kecewa.

"Bodoh, dah berbuih aku kata nak tawan sebuah empayar bukan dengan cara begini. Bukan dengan penghapusan Taqwa. Bukan dengan cara meletakkan maruah di aras yang hina." suara misteri disebalik debu asap. Berdiri gagah di balik bukit tempat tertanam adiwira.

"Kau siapa?"

"Dah lupa aku?" pedang tempaan etnik Taqwa dikeluarkan dari sarungnya. Bersinar kilat.

"..."

"Aku, Iman."




Pedang dilibas.

Wednesday, December 5, 2012

Tuhan, hari ini aku berdosa lagi.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.



Tuhan,
Sebelum ini jika aku berbuat dosa,
Aku hanya tahu dosa itu akan dihisab di sana,
Membiarkannya menggunung tinggi tak terkira,
Dan terus dengan dunia.

Tuhan,
Sebelum ini jika aku berbuat dosa,
Walau kesal itu tiba,
Tetapi beransur pudar bila aku lupa,
Seolah telah diampuni dosa yang ada.

Tuhan,
Seringkali ghaflah membelenggu diri ini,
Seringkali aku memungkiri janji,
Janji untuk taat mengabdi diri,
Walau ku tahu balasan Syurga-Mu yang menanti.

Tuhan,
Jauhkan diri ini dari penyakit wahan,
Tetapkan hati ini di landasan Iman,
Jangan Engkau palingkan diri ini kepada keduniaan,
Setelah Engkau tunjuki jalan kebenaran.


Tuhan...


Ampuni hamba-Mu yang hina ini,
Untuk kesekian kali,
Kerana memungkiri janji kepada-Mu lagi,
Kerana hari ini aku.. berdosa lagi.









Wednesday, June 20, 2012

Layakkah kita ke sana?

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.



Syukur kehadrat Ilahi. 21 Jun 2012. Masih bernafas. Masih berdiri. Masih di sini. Masih diberi peluang taubat.





Sehari-hari kita hidup, makan, minum, tidur, gembira, sakit.
Sampai suatu ketika, kita lupa tujuan diberikan dunia, diberikan kehidupan, malah diberikan kesakitan.
Kita lupa membezakan yang sementara dan yang kekal.
Kita lupa yang mana duniawi yang mana ukhrawi.
Dan paling hina bila lupa kepada Pencipta.

Renungi diri, cukupkah amalan yang ada?
Cukupkah untuk dibawa ke sana?
Cukupkah untuk dikecualikan neraka?

...dan layakkah kita ke sana?




"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid, ayat 21)